Pelihara hubungan baik cermin akhlak mulia

Posted: March 19, 2011 in Islam

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

ISLAM agama diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, rasul terakhir diutuskan oleh Allah kepada umat manusia seluruh alam. Ajaran atau syariat yang dibawa oleh Baginda paling lengkap dan sempurna, sesuai untuk setiap bangsa, zaman dan tempat. Ajaran Islam mengandungi tiga komponen asas iaitu

  • akidah
  • syariat
  • akhlak

Akhlak berasal daripada perkataan Arab yang kata akarnya ialah khuluk yang bermaksud perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama. Berdasarkan kepada pengertian ini, akhlak adalah sifat semula jadi, tabiat dan agama mempamerkan gambaran atau rupa batin seseorang.

Imam al-Ghazali menyebut akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dulu. Ia terjadi secara spontan tanpa pertimbangan akal terlebih dulu.

Masyarakat sentiasa menyanjung tinggi akhlak baik dan menolak serta membenci tabiat buruk dan keji.

Dalam Islam, baik dan buruknya sesuatu perlakuan adalah jelas, iaitu sebarang tingkah laku manusia bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah adalah baik dan mulia. Sebaliknya, semua tindakan menyebabkan kemurkaan-Nya dikatakan jahat dan keji. Matlamat sebenar seseorang Muslim ialah untuk mencari keredaan Allah.

Perlu difahami, konsep akhlak dalam Islam lebih luas daripada konsep moral yang difahami oleh bukan Islam. Antara keluasan konsep akhlak Islam dan keistimewaannya ialah:

  • Konsep akhlak Islam meliputi pembentukan hubungan baik sesama manusia serta alam seluruhnya. Sebagai contoh, menyembelih binatang untuk dimakan disyaratkan pisau yang tajam supaya tidak menyeksa binatang.
  • Akhlak Islam bersumberkan wahyu daripada Allah dan tidak bersifat subjektif. Sedangkan nilai moral adalah sesuatu yang berdasarkan akal fikiran manusia dan bersifat subjektif. Oleh sebab itu, bagi sesetengah masyarakat hubungan seks lelaki dengan wanita itu sesuatu yang bermoral jika kedua-duanya bersetuju dan dianggap salah atau tidak bermoral apabila salah seorang tidak bersetuju.

Menurut Ataullah Siddiqui (1997), untuk memahami konsep akhlak Islam dengan lebih jelas, empat aspek yang digariskan oleh al-Quran dan al-hadis iaitu iman, Islam, takwa dan ihsan hendaklah difahami dengan betul.

  • Iman berasal daripada bahasa Arab yang akarnya ialah amana bererti ‘berada dalam aman’ atau ‘berada dalam selamat’. Iman membawa maksud kepercayaan, tunduk, patuh serta pengakuan hati dan lidah disertai amalan anggota badan.

Dalam Islam, apabila manusia beriman kepada Allah, dia akan tunduk dan patuh kepada segala suruhan-Nya sama ada menerusi hati atau ucapannya. Kepatuhan ini pula dibuktikan dengan perbuatan anggota badan seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji, bersedekah, berzikir dan sebagainya.

Konsep iman ialah membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lisan serta beramal dengan ajaran Allah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Seseorang beriman mesti membabitkan tiga unsur iaitu mengakui dalam hati bahawa Islam adalah agama benar, menyatakan dengan lidahnya bahawa Islam adalah agama yang benar dan mengamalkan ajaran terkandung dalam syariah Islam.

Apabila individu mempunyai iman yang mantap kepada Allah, maka secara tidak langsung dia akan terdorong untuk melahirkan amalan dan ahklak bersesuaian dengan keimanannya. Iman tidak hanya terpendam di dalam jiwa tetapi perlu direalisasikan melalui gerak laku dan amalan dalam kehidupan.

Sebagai contoh, apabila manusia beriman dan percaya akan adanya Allah, dia akan berusaha untuk melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang-Nya. Begitu juga individu yang percaya dan yakin akan adanya hari pembalasan akan melakukan perkara baik dan berusaha mengelakkan diri daripada melakukan perkara membawa dosa.

  • Islam daripada perkataan bahasa Arab yang kata akarnya ialah sa-li-ma yang bererti tulen dan suci daripada sebarang kecacatan zahir dan batin, damai, aman dan sejahtera, taat serta menyerah. Dari segi istilah pula, Islam bermaksud mentauhidkan (mengesakan) Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepada-Nya serta beriman dengan ajaran-Nya yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Konsep Islam antara lainnya ialah mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepada-Nya serta beriman kepada ajaran Allah dibawa oleh Nabi Muhammad, mengakui keesaan Allah, melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya dan mengerjakan dengan sempurna semua rukun Islam yang difardukan serta ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Islam bukan agama yang menyentuh soal ritual semata-mata seperti amalan sembahyang, zakat, beribadat di masjid dan sebagainya tetapi agama ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia. Soal akhlak atau etika sangat ditekankan dalam segenap aspek kehidupan manusia seperti ekonomi, politik, sosial, perundangan dan sebagainya.

  • Takwa bererti ‘melindungi’ atau ‘memelihara’. Menurut istilah syarak pula takwa bermaksud melindungi atau memelihara diri daripada bahaya atau keburukan serta menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah seperti berbohong, khianat, mencuri, membunuh dan menipu.

Takwa satu pemangkin kepada manusia untuk melakukan perkara berakhlak dan menepati kehendak agama. Individu yang bertakwa mulia di sisi Tuhannya. Dengan kata lain, apa yang menjadi ukuran kemuliaan individu ialah sifat takwanya bukannya melihat kepada darjat, pangkat, keturunan, kekayaan atau bangsa individu itu sendiri.

  • Ihsan bermakna sesuai, cantik, tersusun dan sesuatu yang baik. Dari segi istilah syarak pula, ‘ihsan’ bermaksud mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadah dan perbuatan batin dengan keikhlasan.

Konsep ihsan ialah melakukan ibadah dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang dilakukannya, melakukan ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah, melakukan ibadah dengan teratur dan sempurna, rasa nikmat dan keseronokan ketika melakukan ibadat dan sentiasa mengingati Allah dan memuji-Nya dan menyedari Allah sentiasa mengawasinya.

Konsep ihsan ialah kemuncak kepada akhlak Islam. Pati sifat ihsan pula ialah kecintaan kepada Allah. Apabila individu mempunyai sifat ihsan atau kecintaan yang ikhlas kepada Allah, dia akan melakukan perkara yang disuruh dan mengelak daripada perkara dilarang serta dimurkai.

Ihsan juga menyebabkan manusia menyedari dan menginsafi bahawa apa saja perlakuannya sentiasa diperhatikan oleh Allah. Contohnya, individu yang berpuasa tidak akan mencuri-curi makan atau minum kerana ia yakin Allah sentiasa memerhatikan gerak-gerinya. Justeru, sifat ihsan dapat mengawal akhlak dan peribadi individu.

Al-Quran adalah sumber utama akhlak Islam.

Pendekatan digunakan oleh al-Quran dalam membentuk akhlak manusia antaranya ialah:

  • Uswah hasanah (teladan baik) yang ditunjukkan oleh rasul
  • Pendekatan penceritaan atau pengisahan dengan gaya bahasa menarik, indah dan mendatangkan pengajaran dalam jiwa individu yang membacanya dan memahami maksudnya.
  • Pendekatan pengajaran dan nasihat.
  • Pendekatan ganjaran dan dendaan
  • Pendekatan perbandingan dan perumpamaan

Al-Sunnah pula ialah sumber kedua akhlak Islam.

Banyak sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah sangat menitikberatkan perkara menyentuh akhlak, kehidupan bermasyarakat, hubungan manusia dengan Allah, manusia dan alam dan seumpamanya. Semuanya bermatlamatkan pembersihan jiwa, pendidikan akhlak, persediaan kehidupan di akhirat, peribadatan dan pembentukan peribadi mulia manusia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s